fbpx

Pengarah APMM Tanjung Sedili didakwa terima rasuah RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zulfadli (kanan) dan Alias (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor hari ini atas pertuduhan menerima rasuah tahun lalu. Foto BAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Seorang bekas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM10,000, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zulfadli Nayan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berpangkat Kepten Maritim gred T22 didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada Wan Mohd. Fauzi Wan Kamaruddin di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, kira-kira 10 malam, pada 2 Oktober tahun lalu.

Tertuduh didakwa menggunakan jawatannya itu untuk tidak mengambil tindakan ke atas siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn Bhd yang ditahan oleh KM Mulia, Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili pada 17 September tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Fazaly Ali itu diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 29 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Suhaili Sapun.

Sementara itu, seorang lagi pegawai Jabatan Laut juga tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM5,800 sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Alias Jaafar, 58, didakwa menerima suapan daripada individu sama bagi mempercepatkan pemeriksaan Flag State Contol kapal-kapal milik individu terbabit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di dua bank berasingan di Jalan Skudai dan Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, sejak 6 April 2019 hingga 30 Julai tahun lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Hamizi Mohd. Yusof itu diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 20 Jun depan untuk sebutan semula kes.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI