DUNGUN – Kemuliaan hati seorang pembantu tukang rumah membantu nelayan menarik bot berakhir dengan tragedi apabila tangan kirinya putus terjerut tali mesin penarik bot di Pengkalan Muda Misai, Kampung Kuala Abang di sini semalam.
Sewaktu kejadian pada pukul 10 pagi itu, Muhammad Idris Kasim, 27, sedang membantu nelayan yang baru pulang dari laut menarik bot gentian kaca naik ke darat dari gigi pantai.
Abang mangsa, Mohd. Rezuan Kasim, 32, berkata, adiknya, Muhammad Idris memang ringan tulang dan kerap membantu nelayan kampungnya menarik bot mereka pada hari dia tidak bekerja.
“Saya difahamkan kejadian yang menyebabkan tangan kiri adik saya putus dari bahagian lengan berlaku ketika dia cuba membetulkan tali mesin penarik bot yang bergulung.
“Tangan kirinya tiba-tiba terjerut pada tali sewaktu mesin penarik bot itu sedang bergerak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Rezuan berkata, Muhammad Idris menjerit kesakitan dan meminta tolong agar enjin mesin tersebut dimatikan segera yang kemudiannya didengari nelayan-nelayan lain berada di lokasi kejadian.
Tambahnya, adik lelakinya segera dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun di sini untuk menerima rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. – K! ONLINE