LOS ANGELES – Jaguh tinju No. 1 Asia, Manny Pacquiao mengesahkan bahawa dia akan kembali ke gelanggang kompetitif apabila bakal membuat perhitungan dengan juara welterweight dunia, Errol Spence Jr di Las Vegas pada Ogos depan.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan petinju berusia 42 tahun itu turun ke gelanggang buat pertama kali sejak Julai 2019 yang menyaksikan Pacquiao menewaskan Keith Thurman dalam perebutan tali pinggang WBA kategori welterweight.
“Pacquiao vs Spence, Ogos 21, 2021, Las Vegas, Nevada,” kata jaguh tinju kelahiran Filipina itu secara ringkas di laman sosial Twitter peribadinya semalam.
Sementara itu, jurucakap yang mewakili Pacquaio, Sean Gibbons mengesahkan bahawa pertarungan itu dibuat dengan mudah apabila kedua-dua petinju bersetuju untuk bertarung antara satu sama lain.
“Spence boleh dianggap sebagai atlet tinju kategori welterweight terbaik di dunia ketika ini, manakala Pacquiao diketahui sebagai salah seorang petinju yang tidak pernah gentar dengan sebarang cabaran kompetitif.
“Dia (Pacquiao) enggan menjadi seperti Floyd Mayweather yang hanya mahu bertarung di atas gelanggang dengan selebriti media sosial kerana ia akan kelihatan bodoh.
Justeru, saya anggap pertemuan Pacquiao dan Spence bakal mengukuhkan lagi legasinya sebagai petinju legenda,” kata Gibbons.
Sebagai rekod, Spence yang berusia 31 tahun memiliki rekod tanpa kalah dalam kariernya dengan keputusan 27-0 dengan kali terakhir menewaskan Danny Garcia pada Disember tahun lalu.
Sementara itu, Pacquiao yang juga ahli politik di Filipina merupakan petinju berpengalaman dengan rekod 62-7-2 sepanjang karier lebih 25 tahun di pentas antarabangsa. – AGENSI