JASIN – Tindakan selamba seorang lelaki membeli barang sambil memakai ‘gelang pink’ di sebuah kedai serbaneka di Taman Kesang Indah, di sini membawa padah apabila sepasukan polis mencarinya sehingga ke rumah, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi, pekerja wanita kedai terbabit yang cemas sempat merakamkan gambar lelaki berusia 50-an berkenaan dan kereta dinaikinya sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, laporan polis telah diterima daripada wanita berusia 35 tahun itu pada pukul 11.34 pagi.
“Bilik Gerakan Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin telah berhubung dengan pihak pegawai kesihatan daerah dan sepasukan pegawai penyiasat termasuk seorang pegawai polis telah mencari individu terbabit sehingga ke rumahnya.
“Siasatan sedang dilakukan untuk tindakan kompaun di bawah Seksyen 15(1) iaitu Ingkar Pemerhatian dan Pengawasan Kontak, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengadu mendakwa hanya menyedari lelaki terbabit memakai gelang merah jambu dipercayai gelang Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Dirumah (HSO) selepas dia selesai membeli barangan.
“Ketika lelaki terbabit ingin beredar dari premis, pengadu ternampak di pergelangan tangan kanannya ada memakai gelang bewarna merah jambu disyaki sedang menjalani kuarantin.
“Dia kemudian telah merakamkan gambar lelaki tersebut bersama kenderaannya untuk maklumat polis,” katanya.
Terdahulu, kejadian tersebut turut tular di laman sosial Facebook serta WhatsApp dan mendapat reaksi kecaman daripada warga netizen ekoran sikap mementingkan diri sendiri individu terbabit.-K!ONLINE