PETALING JAYA – “Kami hanya bergantung sepenuhnya kepada jualan harian, kalau lockdown macam mana kami nak bagi makan kepada anak bini.”
Itu luahan seorang peniaga barangan basah berasaskan makanan laut yang menetap di Setiu, Terengganu, Azmi Ibrahim, 55.
Menurut Azmi, pendapatannya sekeluarga hampir 100 peratus kepada jualan harian dan dia sangat risau jika lockdown dilaksanakan perniagaannya tidak mampu bertahan dan keluarganya akan hilang punca pendapatan.
“Janganlah lockdown, PKP ketika ini pun perit kami nak hadap. Nak dapat RM50 sehari pun susah apatah lagi kalau lockdown langsunglah tiada ‘duit masuk’ (jualan).
“Simpanan sebelum ini pun sudah habis digunakan. Jika tidak boleh berniaga selepas ini, seminggu boleh ‘bungkus’,” luahnya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Azmi yang mengusaha perniagaan menerusi penghantaran terus kepada pelanggan berkata, kebanyakan pelanggannya yang terdiri daripada pengusaha restoran kedai makan turut menghadapi situasi sama.
“Pelanggan saya juga tidak berani ambil stok banyak kerana mereka turut mengalami masalah kekurangan pelanggan.
“Semua orang susah bila PKP, macam kami banyak pihak terkesan,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.
Sementara itu, bagi seorang pengusaha santan di Pulau Pinang, Shazwi Mokhtar, 27, berkata, perniagaan santannya hanya mampu bertahan selama tiga bulan jika lockdown.
Dia yang mengusahakan tiga cawangan santan di Pulau Mutiara itu memberitahu ketika ini dia mempunyai 10 orang pekerja.
Namun katanya, jika lockdown dan jualan merosot kemungkinan besar dia terpaksa memberhentikan sebahagian pekerjanya.
“Setakat ini perniagaan saya masih lagi boleh bertahan dan mampu membayar gaji 10 orang pekerja sekitar RM10,000 sebulan.
“Tapi jika lockdown saya paling risau nasib pekerja saya. Saya harap tidak begitu,” katanya. -K! ONLINE