KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri dilanda kesedihan kerana sehingga kini masih belum berpeluang mendukung bayi yang dilahirkan sejak dua bulan lalu selepas dimasukkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Lebih menyedihkan apabila pasangan itu, Mohd. Suhaimi Jasmin, 25, dan Asfanizan Othman, 33, dari Taman Sinar Sedili, Tanjung Sedili di sini telah menunggu selama enam tahun untuk mendapatkan zuriat sejak dari hari pernikahan mereka.
Asfanizan berkata, sejak dilahirkan pada 19 Mac lalu, bayi mereka, Nur Qaira Qalisha terus dimasukkan ke NICU HSA.
“Saya hanya perasan hamil apabila kandungan memasuki usia tujuh bulan. Ketika itu kami sangat gembira kerana telah menunggu enam tahun.
“Namun, ketika mengandung, doktor ada memaklumkan yang bayi saya ada masalah hati dan pundi kencing selain tidak sempurna,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bagaimanapun tambahnya, selepas dilahirkan, dia bersyukur apabila anaknya cukup sifat, namun ada masalah saluran jantung sempit dan usus berada di luar.
Menurut Asfazinan, sejak dilahirkan, mereka belum berpeluang untuk mendukung bayinya.
“Kami berulang alik ke Johor Bahru untuk menghantar lampin pakai buang dan tisu basah jika diminta pihak hospital. Ketika itulah saya berpeluang melihat Nur Qaira dengan prosedur operasi standard yang ketat akibat Covid-19,” katanya.
Tambahnya, suaminya sempat mengambil gambar anaknya dan hanya itu menjadi pengubat rindu mereka.
Sementara itu, Mohd. Suhaimi yang bekerja kontrak berharap agar anaknya cepat sihat dan dapat pulang ke rumah dengan segera.
“Sejak anak saya dimasukkan ke hospital, saya tidak tenang kerja. Saya tidak ada kereta dan terpaksa mengupah orang bawa kami ke hospital melawat anak,” katanya.
Orang ramai yang mahu meyumbang boleh salurkan ke akaun Asfanizan Othman Bank Nasional Berhad (BSN) 0199541100331054 atau boleh hubungi talian 011-2771 4319. -K! ONLINE