PETALING JAYA – Gerhana bulan penuh akan berlaku pada 26 Mei ini bermula pukul 4.47 petang dan berakhir pada pukul 9.50 malam waktu tempatan.
Menerusi makluman yang dikeluarkan oleh Agensi Angkasa, orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena tersebut ketika fasa gerhana separa (Sabah dan Sarawak) serta fasa gerhana maksimum (Semenanjung).
“Fenomena Gerhana Bulan pada 26 Mei 2021 (Rabu) akan berlaku selepas Bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Bumi (perigee) dengan jarak 357,309km.
“Fenomena ini dapat dilihat secara keseluruhan di timur Australia, New Zealand dan Kepulauan Pasifik, termasuk Hawaii,” katanya.
Katanya fenomena tersebut hanya kelihatan ketika fasa gerhana telah maksimum.
Dalam pada itu katanya, orang ramai boleh menyaksikan penstriman langsung Gerhana Bulan Penuh “Super Flower Blood Moon” di akaun media sosial Facebook dan Youtube Planetarium Negara pada Rabu nanti.
Bagaimanapun, kemudahan teleskop tidak akan dibuka untuk orang awam di Planetarium Negara kerana situasi negara yang sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – K! ONLINE