fbpx

Banyak rumah penduduk rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORIHEN menunjukkan cermin tingkap rumahnya yang pecah ekoran letupan kuat di Kampung Sireh, Kota Bharu kelmarin.

KOTA BHARU – Letupan sebuah kereta yang membawa mercun bola di kawasan Simpang Empat, Kampung Sireh di sini kelmarin turut menyebabkan kebanyakan rumah yang berada berhampiran lokasi kejadian rosak.

Seorang penduduk, Norihen Ariyatular, 42, berkata, letupan dan gegaran dalam kejadian itu menyebabkan cermin tingkap dan siling rumahnya di tingkat empat pecah selain semua kelengkapan berselerak.

Katanya, ketika kejadian, dia sedang minum petang bersama anak perempuannya, Siti Nurhafifi Che Lawi, 12, di dalam rumah sebelum melihat cahaya seperti kilat dari luar rumah.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan yang kuat seperti dentuman bom sebelum berlaku gegaran sehingga hampir keseluruhan cermin tingkap dan siling pecah.

“Ketika saya menjenguk ke luar rumah, saya lihat api sedang membakar dua buah kereta. Paling mengerikan, saya lihat ada banyak darah malah ramai mangsa terlibat terkena percikan api,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Menurut Norihen, difahamkan, ketika gegaran berlaku, 10 buah rumah jiran-jirannya turut mengalami nasib sama.

Sementara itu, Imam Muda Masjid Kampung Sireh, Mohmad Zulhilmi, berkata, dia menyedari kejadian itu, kira-kira pukul 5.40 petang, ketika berada di dalam rumah bersama keluarga selepas menunaikan solat asar.

“Saya terkejut apabila terdengar letupan yang kuat dan bergegar menyebabkan beberapa bahagian siling dan cermin tingkap turut pecah.

“Rumah saya dekat dengan lokasi kejadian iaitu kira-kira 10 meter. Saya turut melibat ba­nyak serpihan besi bertaburan di kawasan masjid,” ujarnya.

Tinjauan Kosmo! Ahad di lokasi kejadian mendapati, beberapa laluan masih ditutup kepada semua kenderaan.

Unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan bomba turut dilihat di lokasi.

 

Nampak percikan api

KOTA BHARU – Seorang ­mangsa yang terlibat dalam kejadian ngeri sebuah kereta membawa muatan mercun bola meletup di Simpang Empat, Kampung Sireh di sini kelmarin mendakwa dia melihat percikan api dari bahagian belakang sebuah kereta.

Noor Aslinda Zakaria, 39 berkata, sebelum kejadian berlaku, dia yang memandu kenderaan utiliti sukan Honda CR-V bersama dua anak, Nur Anis ­Syamimi Mahadi, 19, dan Muhammad Aiman,15.

NOOR ASLINDA (tengah) menunjukkan gambar lokasi kejadian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kijang, Kota Bharu semalam.

Katanya, apabila tiba di persimpangan lampu isyarat itu, dia melihat percikan api yang menyala dari bahagian kanan kereta jenis Proton Iswara Aeroback melalui cermin sisi kenderaan dipandunya.

“Belum sempat saya menukar gear kenderaan selepas lampu isyarat bertukar hijau, secara tiba-tiba kereta belakang sudah meletup.

“Selepas letupan berlaku, saya dan dua anak terus berlari keluar daripada kenderaan selepas melihat kepulan asap di situ. Ketika itu, saya dapat merasai bahang panas daripada sekeliling kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kijang di sini semalam.

Menurut penjual nasi berlauk itu, letupan itu juga menyebabkan kenderaannya rosak di bahagian dalam selain cermin belakang turut pecah. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI