PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan satu audio tular yang mendakwa seramai 40 orang jururawat meninggal dunia dan vaksin Covid-19 adalah racun.
KKM dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali.
“KKM menasihatkan agar semua masyarakat membimbing mereka yang berada di bawah jagaan keluarga mereka agar tidak membuat, berkongsi dan mempercayai maklumat yang tidak benar sebegini.
“Adalah menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang membuat kenyataan yang tidak benar dan menimbulkan kegelisahan awam. Oleh itu, sebelum ianya berlaku adalah lebih baik kita mencegahnya dengan nasihat menasihati antara satu sama lain,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular audio berdurasi 2:48 minit oleh individu yang menggelar dirinya sebagai Mak Teh menyatakan seramai 40 jururawat meninggal dunia kerana vaksin Covid-19.
Individu tersebut juga mendakwa terdapat doktor yang mengesahkan vaksin Covid-19 adalah racun dan pesakit Covid-19 boleh minum air kelapa sahaja untuk sembuh. – K! ONLINE