KEMAMAN – Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan sebuah lagi bot nelayan Vietnam yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan palsu untuk mengaut hasil laut secara haram di perairan negara semalam.
Bot nelayan asing berkenaan ditahan pada kedudukan 35 batu nautika dari timur laut Kuala Kemaman pada 4.10 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, Kapal Maritim (KM) Gemia yang sedang melakukan rondaan bersepadu Op. Kuda Laut dan Op. Iman di perairan berkenaan telah mengesan bot nelayan Vietnam itu.
“Bot nelayan itu tertera nombor pendaftaran tempatan tetapi kita syaki ia palsu kerana ciri dan struktur fizikalnya menyerupai buatan Vietnam.
“Seramai sembilan nelayan warga Vietnam berusia dalam lingkungan 28 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Rashidilhadi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lesen bot, dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang dikemukakan kesemua nelayan itu agak meragukan.
Tambah beliau, pihaknya telah menyita bot, peralatan menangkap ikan dan bekalan diesel sebanyak 1,000 liter yang keseluruhannya dianggarkan kira-kira RM1.4 juta. – K! ONLINE