JITRA – Kerajaan negeri menyediakan sebanyak 7,000 bantuan bekalan makanan kepada penduduk di dua kawasan dalam daerah Kubang Pasu dan 28 mukim di daerah Kota Setar yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata, pemberian bantuan di daerah ini telah dilaksanakan sejak tiga hari lalu melibatkan penduduk yang terputus bekalan makanan dan membuat aduan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Manakala barangan di daerah Kota Setar juga saya difahamkan telah tiba hari ini dan akan diagihkan secepat mungkin kepada mereka yang memerlukan.
“Pemberian ini dilaksanakan secara bersasar dengan diuruskan sepenuhnya oleh PKOB di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi pemberian bantuan tersebut yang dilaksanakan di Kampung Lubuk Kawah di sini hari ini.
Pemberian bantuan secara berpusat itu turut mendapat sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Dhuafa Sejahtera yang menyumbangkan lebih 400 kilogram ikan temenung untuk diagihkan kepada penduduk setempat.
Kata beliau, kalangan penduduk terlibat yang terputus bekalan makanan boleh menghubungi PKOB dan butiran diri mereka akan diambil untuk penyerahan bantuan. – K! ONLINE.