SEBERANG PERAI – Sepuluh premis termasuk sebuah kereta yang dijadikan tempat melakukan kegiatan judi loteri awam haram digempur polis dalam beberapa serbuan di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) semalam.
Operasi membabitkan 41 pegawai dan anggota dari Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah SPU dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang itu dilakukan selama kira-kira enam jam berakhir pukul 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menahan 11 individu berusia di antara 20 hingga 62 tahun disyaki terlibat dalam kegiatan judi loteri awam haram dan perjudian online.
“Serbuan di sepuluh premis itu membabitkan kawasan sekitar Butterworth, Mak Mandin, Tasek Gelugor dan Kepala Batas.
“Seramai sembilan lelaki dan dua wanita ditahan dalam operasi berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralatan seperti pen, kalkulator, slip kertas bercetak angka disyaki berkaitan judi loteri awam haram, pencetak mini, telefon bimbit dan sebuah kereta.
Menurut Noorzainy lagi, polis akan meminta pihak Tenaga Nasional Berhad membuat pemotongan bekalan elektrik di premis terbabit bagi mengelakkan kegiatan sama berulang.
Sementara itu, beliau turut meminta orang awam menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan haram berkenaan melalui sistem Volunteer Smartphone Control (VSP) atau menghubungi talian 04-5762222.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4A(a) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – K! ONLINE