KUANTAN – Seorang wanita yang mahu meminjam wang sebanyak RM15,000 mengalami kerugian kira-kira RM17,000 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang bekerja sendiri menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp selepas melihat iklan pinjaman wang di Facebook pada 16 Mei lalu.
“Mangsa menghubungi suspek untuk membuat pinjaman peribadi berjumlah RM15,000 namun suspek memperdaya mangsa untuk membuat beberapa transaksi bayaran dengan alasan caj proses.
“Dalam tempoh 16 Mei hingga 19 Mei lalu mangsa sudah membuat 11 transaksi pemindahan wang ke empat akaun berbeza berjumlah RM17,102,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang berumur 29 tahun hanya menyedari ditipu apabila tidak menerima wang pinjaman sehingga kini sebelum tampil membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading, di sini, semalam.
Katanya, polis telah merakam percakapan mangsa dan usaha mengesan suspek giat dilakukan dengan mendapatkan maklumat termasuklah daripada penyata bank suspek. – K! ONLINE