LONDON – Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane mengakui dia sedia untuk mengadakan perbincangan ‘hati ke hati’ dengan pengerusi kelab, Daniel Levy mengenai masa depannya.
Berdasarkan laporan media tempatan, kapten skuad antarabangsa England itu dikatakan sudah bersetuju untuk meninggalkan pasukan tersebut pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Pemain berusia 27 tahun itu dilihat terdesak untuk meninggalkan Spurs, terutamanya selepas dia menyatakan tidak mahu menamatkan kariernya dengan tangan kosong.
“Sudah tentu perbincangan perlu diadakan antara saya dan kelab. Sudah tiba masanya untuk saya bercakap dari hati ke hati dengan pengerusi mengenai masa depan saya.
“Beliau (Levy) mungkin ada rancangan untuk jual saya dengan nilai £100 juta (RM587.7 juta). Tidak mungkin nilai saya setinggi itu pada dua atau tiga tahun akan datang,” katanya.
Kane dikatakan sudah hilang sabar untuk terus menyarung jersi Spurs apabila masih belum mendakap sebarang trofi dalam kariernya termasuk ketika tewas kepada Manchester City pada final Piala Liga England (EFL) bulan lalu.
“Musim ini saya hanya menonton pasukan-pasukan England beraksi dalam Liga Juara-Juara. Saya juga mahu terlibat dalam perlawanan-perlawanan hebat seperti itu,” ujarnya. – AGENSI