PETALING JAYA – Rakyat Malaysia ternyata ternyata sangat bermurah hati. Ibarat cubit kiri kanan, peha kiri terasa perihal itu dibuktikan dengan sokongan yang diterjemahkan melalui kutipan dana buat rakyat Palestin.
Tabung MyAqsa Defenders (MAD) yang disertai pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), selebriti dan ikon kemanusiaan dikhabarkan berjaya mengumpul dana hampir RM17.8 juta hasil sumbangan orang ramai untuk rakyat Palestin.
Perkara tersebut diumumkan oleh selebriti dakwah yang juga aktivis kemanusiaan, Mizz Nina menerusi satu kenyataan rasmi dalam Instagramnya.
Bersyukur dengan hasil kutipan tersebut, Mizz Nina atau nama lengkapnya, Shazrina Azman, 41, tidak menyangka dengan sokongan luar biasa diterima.
“Alhamdullilah semoga Allah terima dan balas segala kebaikan anda. Kami tidak menjangkakan ia begitu banyak sekali begini. Mari teruskan usaha ini, jangan lakukannya hanya bermusim sahaja tetapi berterusan menyokong Palestin,” tulisnya.
Dalam pada itu, Mizz Nina yang juga isteri vokalis Hujan memaklumkan, hasil sumbangan akan digunakan secara berperingkat untuk disalurkan kepada klinik Malaysia Al-Aqsa, khidmat guaman di Sheikh Jarrah, kafalah keluarga miskin di Baitulmaqdis dan bantuan kecemasan Gaza.
Untuk rekod, MAD menggabungkan 20 NGO antaranya Cinta Gaza Malaysia, Global Peace Mission Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Iman Care.
Antara selebriti yang turut serta dalam kempen derma itu adalah Heliza Helmi, Faizal Tahir, Noh Saleh, PU Rahmat, Fedtri Yahya dan Natasha Hudson. – K! Online