PETALING JAYA – Pelakon popular, Mimi Lana membatalkan sesi fotografi dengan barangan jenama mewah terkemuka dunia, Dior sebagai tanda solidariti buat saudara se-Islamnya, Bella Hadid.
Mimi atau nama lengkapnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 26, berkata, dia teguh dengan pendiriannya demi rakyat Palestin termasuk Bella Hadid.
“Saya minta maaf, saya tidak dapat buat fotografi Dior esok. Saya baru tahu Dior gugurkan nama Bella hanya kerana memberikan sokongan kepada Palestin.
“(Tindakan) itu sangat sensitif untuk orang Islam di negara saya kalau saya muat naik apa-apa berkaitan Dior. Saya betul-betul minta maaf dan berharap anda memahami,” kata Mimi yang juga model yang berketinggian 1.78 meter itu.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Dior dikatakan menamatkan kontrak Bella sebagai wajah jenama mewah tersebut hanya kerana kelantangannya bersolidariti menuntut keadilan untuk negara Palestin termasuk turun protes di Amerika Syarikat.
Sehingga kini, belum ada lagi kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut daripada pihak Dior namun wajah Bella tidak lagi terlihat mewakili jenama itu termasuk dalam Instagram rasminya.
Para peminat dalam media sosial terus mempersoalkan andai benar Bella Hadid digugurkan mewakili jenama tersebut hanya kerana mempertahankan Palestin, mengapa itu tidak berlaku kepada selebriti yang secara terang-terangan menyokong Israel zalim terhadap penduduk Gaza. – K! ONLINE