fbpx

‘Mak pesan gaji pertama masuk tabung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUMBANGAN dan nota ringkas diletakkan oleh seorang penderma dalam tabung Masjid Putra, Putrajaya.

PUTRAJAYA – “Ini gaji pertama saya. Mak saya pesan masukkan (sebahagian) ke tabung masjid dulu”. Itu antara ayat tertulis pada sekeping kertas kecil dike­pilkan bersama wang berjumlah RM50 yang dimasukkan ke tabung Masjid Putra, Putrajaya di sini.

Wang tersebut didermakan oleh penderma dipercayai jemaah masjid tersebut dan ditemui oleh Pegawai Perhubungan Awam Masjid Putra, Ahmad Najib Aris, 41, sewaktu mahu membuat kiraan sumbangan daripada tabung tersebut.

Terkesan selepas membaca nota itu, beliau memuat naik gambar wang bersama nota di Facebook dan turut dikongsi pihak Masjid Putra melalui akaun rasmi media sosialnya.

“Sepanjang bertugas di masjid ini sejak 2018, pelbagai jenis nota diletakkan bersama wang sumbangan tetapi, bagi saya ini berlainan sedikit lebih-lebih lagi pen­derma bercerita mengenai pesanan ibunya supaya menderma selepas menerima gaji pertama.

“Jadi saya terus merakam gambar wang serta nota bersamanya dan memuat naik dalam Facebook saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Najib turut bercerita, menjadi kebia­saan beliau serta pegawai masjid yang lain untuk menjalankan tugas kiraan sumbangan yang di­terima daripada jemaah.

“Ada wang sumbangan diteri­ma diletakkan di dalam sampul surat atau dikepilkan bersama kertas tertulis ‘sedekah’ selain ‘terima kasih’. Pernah juga kami terima nota supaya mendoakan kesejahteraan keluarga penderma.

“Namun kali ini sebak sedikitlah kerana penderma bercerita mengenai pesanan ibunya,” katanya yang turut mendoakan penderma tersebut dipermudahkan dan dimurahkan rezeki.

Berdasarkan tulisan penuh pada nota yang ditinggalkan, penderma itu menulis, “Ni gaji pertama saya. Mak saya pesan masukkan ke tabung masjid dulu. Doakan Allah berkati rezeki kami sekeluarga dan kurniakan kami syurga-Nya”.

Selain itu, pihak Masjid Putra menerusi status yang dikongsikan turut mendoakan penderma tersebut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI