fbpx

Letupan gegar Kota Bharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemusnahan akibat kereta yang meletup di Kampung Sireh, Kota Bharu baru-baru ini.

KOTA BHARU – Seorang lelaki maut dalam kea­daan mengerikan apabila badannya berkecai selepas kereta jenis Proton Iswara Aeroback membawa muatan mercun bola yang dipandunya meletup hingga me­ngakibatkan kawasan Simpang Empat, Kampung Sireh di sini bergegar semalam.

Kejadian ngeri pada pukul 5.55 petang itu menimpa Wan Hassan Wan Ali, 48, hingga mengakibatkan dia tercampak kira-kira 20 meter dari kereta yang dipandunya.

Difahamkan, mercun yang dibawa terlalu banyak hingga penuh but dan tempat duduk belakang kereta tersebut.

Letupan kuat itu membuatkan pasukan keselamatan terpaksa me­ngutip sebahagian cebisan mayat mangsa di atas jalan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, letupan itu turut menyebabkan empat buah lagi kereta terbakar.

Katanya, selain mangsa, empat orang mangsa termasuk seorang anggota polis turut me­ngalami kecederaan parah, namun stabil.

“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa membawa muatan mercun bola dengan kuantiti yang banyak sebelum ia dipercayai tiba-tiba meletup.

“Kesan daripada letupan bola di dalam kereta itu, lima buah kereta telah terbakar. Letupan mengakibatkan kereta mangsa terputus dua,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Shafien, empat ­mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan lanjut.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Bagaimanapun, Shafien ­enggan mengulas mengenai dakwaan ke­re­ta membawa muatan mercun itu dipanah petir sebelum mele­tup.

Sementara itu, seorang saksi kejadian berkata, dia terkejut mendengar satu letupan yang sangat kuat sehingga rumahnya bergegar.

“Cermin di halaman depan dan dapur rumah saya turut pe­cah. Saya terasa gegaran seperti gempa bumi,” ujarnya.

Seorang peniaga, Mohd. Khai­rul Anuar Mohd. Zain, 42, pula berkata, dia terkejut apabila mendengar letupan kuat seperti bunyi bom.

“Serpihan kereta tercampak hingga mengakibatkan atap rumah pecah.

“Saya terus berlari keluar sebelum melihat beberapa buah kereta terbakar. Saya juga melihat cebisan mayat seorang lelaki terbakar di dalam kereta ber­kenaan,” katanya

Isteri mangsa, Faridah Hussin, 49, ketika ditemui berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi oleh orang ramai.

“Pada mulanya anak saya datang ke tempat kejadian untuk membuat pengesahan tetapi tiada mayat di situ.

“Anak sulung saya, Wan Nor Hidayah, 21, datang semula dan terkejut melihat beberapa cebisan mayat dari kereta suami,” katanya.

Faridah berkata, ketika suaminya keluar, dia tiada di rumah kerana berada di kedainya di Kota Bharu.

Katanya, dia percaya suami­nya datang dari rumah yang baharu dibeli mereka di Kampung Kota di sini kerana keluarganya sedang dalam urusan untuk berpindah rumah. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI