fbpx

Katil ICU Covid-19 di Lembah Klang capai 113 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 di Lembah Klang telah mencecah 113 peratus manakala secara keseluruhan di seluruh negara kini mencapai 91 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan (KKM), Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hospital terlibat terpaksa menukar fungsi kawasan lain di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil-katil dengan peralatan perubatan tertentu untuk menampung peningkatan tersebut.

Antara hospital yang merekodkan penggunaan katil melebihi 100 peratus ialah Hospital Sungai Buloh (111 peratus), Hospital Ampang (113 peratus), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (117 peratus), Hospital Serdang (172 peratus), Hospital Kajang (317 peratus) dan Hospital Banting (200 peratus).

“Situasi tersebut mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.

“Di Hospital Sungai Buloh misalnya, sebahagian daripada Jabatan Kecemasan telah ditukar menjadi tempat rawatan kritikal atau ICU,” jelasnya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau hari ini.

Menurutnya, sistem kesihatan negara sedang menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan masyarakat untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Lakukanlah kawalan pergerakan kendiri dengan kekal duduk di rumah. Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada Prosedur operasi standard (SOP).

“Majikan diseru untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah dan mengehadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa. Jangan tunggu lagi. Kita jaga kita,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI