BEAUFORT – Bilangan mangsa banjir membabitkan daerah Tenom dan Beaufort di Sabah terus meningkat kepada seramai 4,722 orang hari ini.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 1,317 keluarga di kedua-dua daerah yang kini berada di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 9 pagi tadi.
Katanya, angka penduduk dipindahkan ke PPS semakin bertambah berbanding 2,599 orang pada petang semalam.
“Tenom kekal daerah tertinggi mencatatkan penduduk terjejas banjir iaitu seramai 4,147 orang daripada 1,169 keluarga yang kini ditempatkan di 35 PPS.
“Antara PPS yang dibuka untuk daerah Tenom termasuklah Dewan Sri Ontoros menempatkan paling ramai mangsa di Tenom seramai 484 mangsa dan diikuti Dewan Labut Satu (102 mangsa), Rumah Kebudayaan Angalor (288 mangsa), Rumah Kebudayaan Maligus (201 mangsa), Dewan Mini Jinuin Jimin (205 mangsa), Rumah Kebudayaan Kalasan (143 mangsa) dan Rumah Kebudayaan Lalandang (176 mangsa).
“Semua penduduk yang terjejas ini daripada 33 kampung di seluruh daerah Tenom,” katanya.
Dalam pada itu, Jurucakap APM memaklumkan seramai 575 mangsa melibatkan 148 ketua isi rumah direkodkan untuk daerah Beaufort membabitkan tiga PPS.
Menurutnya, PPS Dewan Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort menempatkan 238 mangsa, Dewan Selagon (188 mangsa) dan Dewan Residen (149 mangsa).
Sementara itu, Jurucakap APM memaklumkan pihaknya bersama agensi keselamatan terlibat sentiasa bersiap siaga berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu ketika ini. – K! ONLINE