KOTA BHARU – Polis menasihatkan agar seramai 1,300 penduduk di lokaliti Kampung Terusan, Limbat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini tidak sesekali cuba untuk lari dan keluar dari kawasan itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, beliau meminta kerjasama orang ramai agar tidak bolos dari kampung itu bagi mengelak berlaku jangkitan Covid-19 kepada orang di luar kawasan berkenaan.
Katanya, sehubungan dengan itu, penduduk disarankan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 secepat mungkin untuk memudahkan agensi terlibat mengambil tindakan segera.
“Bagi tujuan itu, polis sudah memasang kawat berduri di beberapa laluan masuk ke kempunh berkenaan bagi mengelak tiada pergerakan keluar dan masuk.
“Kita akan buat pemeriksaan di setiap kawasan untuk memastikan penduduk kekal berada di rumah dalam tempoh dua minggu bermula hari ini hingga 4 Jun depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjalankan tinjauan di kawasan PKPD Kampung Terusan, Limbat di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud.
Mengulas lanjut, menurut Shafien, berdasarkan pemerhatian, masyarakat di kawasan itu sudah mula faham dan mereka dilihat akan kekal berada di rumah masing- masing.
Menurutnya, seramai 18 anggota polis terlibat menjalankan penguatkuasaan di kawasan itu dengan dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia. – K! ONLINE