MONACO – Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton mengakui tercabar melihat kemampuan terkini Ferrari yang berjaya mencatat masa terpantas ketika sesi latihan Formula Satu (F1) sekali gus menyifatkan tugasnya pasti sukar menjelang saingan Grand Prix (GP) Monaco esok.
Pelumba Ferrari, Charles Leclerc menduduki tempat pertama dalam sesi tersebut dengan catatan masa 1 minit 11.684s (saat), berkelebihan 0.112s di hadapan rakan sepasukannya, Carlos Sainz yang menduduki tempat kedua.
Juara dunia tujuh kali, Hamilton sekadar menduduki tempat ketiga apabila ketinggalan 0.390s di belakang Leclerc, manakala pelumba Red Bull, Max Verstappen keempat dalam sesi yang berlangsung di Litar Monaco itu.
“Sangat baik hari ini, termasuk keadaan cuaca. Rasa sangat bertenaga apabila dapat menjejakkan kaki semula ke litar ini.
“Ini adalah litar yang pantas dan ia mampu memukau setiap kali anda berpeluang berlumba di sini.
“Satu cabaran apabila Ferrari dilihat sangat kuat hari ini, ia mengejutkan saya. Bagi saya, ia menarik kerana akan menyajikan lebih cabaran pada perlumbaan sebenar nanti.
“Peningkatan mereka sangat menakjubkan, kini semua pelumba akan merasai bahang mereka,” kata pemandu Mercedes itu.
Hamilton kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 94 mata selepas memenangi GP Bahrain pada 28 Mac lalu, diikuti GP Portugal (2 Mei) dan GP Sepanyol (9 Mei). – AGENSI