SEPERTI yang kita sedia maklum, angka kes Covid-19 semakin membimbangkan akhir-akhir ini termasuk mencatat rekod baharu tertinggi 6,806 seperti yang dilaporkan pada Khamis lalu.
Jumlah kematian juga menunjukkan angka yang menakutkan dengan 59 kematian sehari pada hari tersebut sekali gus menjadikan keseluruhan kini 2,149 telah menjadi korban virus itu di negara ini.
Angka-angka tersebut jelas memperlihatkan betapa perjuangan manusia menentang virus korona ini masih panjang dan tidak dapat diramal bila kesudahannya.
Jika berdasarkan laporan media, virus ini dikenal pasti pada awal Januari 2020 sebelum mula agresif merebak ke seluruh dunia menjelang Mac.
Sejak itu, para saintis dan pakar seluruh dunia bertungkus lumus berusaha menangani wabak itu yang kini menyebabkan lebih 164 juta manusia dijangkiti serta 3.4 juta terkorban.
Apa yang jelas, wabak berkenaan ternyata amat sukar dibendung meskipun sebelum ini dikatakan penghasilan vaksin dan program suntikan bakal melandaikan bilangan kes-kes positif di dunia.
Namun, sehingga hari ini selepas hampir setahun setengah, rakyat di seluruh dunia kelihatan mula kelesuan dengan wabak apabila jumlah jangkitan dan kematian terus bertambah.
Ketika awal peringkat wabak melanda, semua pihak begitu bersemangat melaksanakan apa sahaja arahan pihak berkuasa bagi mengekang Covid-19 termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam apa sahaja urusan harian.
Tempoh waktu yang lama kemudian menyebabkan sebilangan mula mengambil ringan dengan aspek pematuhan SOP. Malah, tindakan tegas pihak berkuasa juga dipersoalkan oleh rakyat apabila golongan atasan, kaya, berpangkat dan ternama didakwa bebas melanggar SOP berulang kali tanpa dikenakan hukuman seperti rakyat biasa.
Jika tidak banyak yang boleh dilakukan bagi meningkatkan tahap kesedaran rakyat mengenai pentingnya menjaga SOP dalam mengawal wabak, mungkin agaknya kita perlukan lebih ramai individu seperti pengacara dan selebriti kontroversi, Azwan Ali.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Diva AA itu sememangnya digeruni mulutnya yang lantang dan celupar. Jika tiada lagi bahasa sopan dan murni boleh menggerakkan kesedaran rakyat, elok kita serahkan kepada Azwan untuk beri penjelasan isu wabak berkenaan.
Katanya, Azwan pun berminat lagi untuk bertanding pada pilihan raya akan datang. Mungkin pengundi boleh berikan peluang kepada beliau menjadi Ahli Parlimen selepas itu bolehlah lantik sebagai menteri yang menjaga SOP.
Teringat pula kata-kata Azwan kepada wartawan Kosmo!: “Mulut saya tetap ‘puaka’, namun lambat-laun orang akan sedar, apa yang saya kritik itu ada kebenarannya”. -K! ONLINE