PETALING JAYA – Dua petugas kesihatan antara empat individu yang cedera selepas ambulans yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di kilometer (km) 55, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Hulu Selangor dekat sini hari ini.
Kemalangan berlaku ketika ambulans berkenaan dalam perjalanan dari Hospital Selayang ke Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB).
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3.45 petang.
“Siasatan awal mendapati ambulans berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun bersama dua penumpang yang bertugas sebagai pembantu perubatan kesihatan di Hospital KKB.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, ambulans tersebut telah bertembung dengan kereta Proton Iswara yang memasuki laluan bertentangan menyebabkan ambulans itu terbalik,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pemandu ambulans serta dua penumpangnya cedera ringan manakala pemandu kereta Proton Iswara yang berusia 44 tahun cedera di kepala serta tangan.
Katanya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital KKB untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. – K! ONLINE