MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester City, Ruben Dias melaungkan amaran buat pasukan-pasukan pencabar selepas merangkul anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Penulis Sukan Bola Sepak (FWA).
Pemain antarabangsa Portugal itu mengharungi musim sulungnya bersama City dengan penuh gemilang apabila membantu pasukan tersebut memenangi Liga Perdana dan Piala Liga England (EFL).
Kata Dias, anugerah tersebut hanyalah sebagai permulaan kerana dia mensasarkan untuk memenangi lebih banyak kejuaraan bersama City termasuk saingan Liga Juara-Juara.
“Satu penghargaan yang cukup besar untuk saya apabila dipilih untuk memenangi anugerah ini. Sudah tentu saya tidak mampu untuk lakukannya tanpa bantuan rakan sepasukan.
“Bagi saya, ini hanyalah permulaan kerana saya mahu membantu pasukan memenangi lebih banyak kejuaraan, termasuk melakar sejarah memenangi Liga Juara-Juara,” kata bekas pemain Benfica itu.
Dias dianggap antara pemain penting buat skuad kendalian Pep Guardiola musim ini apabila membuatkan benteng pertahanan pasukan itu musim ini lebih kebal.
Sebagai rekod, dia merupakan pemain pertahanan pertama untuk menerima anugerah itu selepas kali terakhir ia dilakukan oleh pemain Liverpool, Steve Nicol pada 1989. – AGENSI