TURIN – Penjaga gol legenda Juventus dan Itali, Gianluigi Buffon dilaporkan bersedia untuk menangguhkan persaraannya dan mengintai peluang untuk mendapat tempat pada aksi Piala Dunia 2022.
Buffon, 43, dilaporkan bersedia untuk terus kekal bersama Juventus untuk mencari peluang mendapat tempat bersama skuad kebangsaan Itali pada saingan Piala Dunia tahun depan.
Kontrak baharu di Turin itu dilaporkan tidak melibatkan terma baharu kerana Buffon hanya mahu kekal beraksi secara kompetitif bagi memastikan dirinya berpeluang untuk ke aksi di Qatar nanti.
Kelmarin, Buffon menjadi salah seorang pemain dalam skuad Juventus yang berjaya merangkul Piala Itali selepas menundukkan Atalanta, sekali gus menjadi gelaran keenam dalam kariernya.
“Kejuaraan ini sangat membanggakan dan saya gembira dapat berkongsi kejayaan ini bersama rakan sepasukan.
“Semua yang bermula akan berakhir. Saya sudah berusia 43 tahun dan pada usia sebegini, anda perlu membuat pilihan yang mungkin tidak popular, pelik atau dianggap gila.
“Tetapi, pada usia sebegini saya masih di sini kerana sentiasa mahu melakukan sesuatu yang berbeza. Saya tidak pernah meletakkan had dan sentiasa memasang impian dalam karier.
“Saya gembira kerana masih mampu memasang impian, mahukan cabaran yang baharu serta projek baharu. Saya mungkin tidak selalu meraih kejuaraan, tetapi ia bukanlah keutamaan buat saya.
“Saya tidak bermain untuk mendapatkan trofi tetapi ia adalah untuk perjalanan karier dan mahu mencabar diri,” katanya.
Jika terpilih menyertai Itali, Buffon berpeluang untuk menambah jumlah kap bersama pasukan kebangsaannya itu selepas membuat 176 penampilan setakat ini. – AGENSI