PARIS – Bintang sensasi Perancis, Kylian Mbappe mengakui sangat teruja dengan kemungkinan bakal bergandingan bersama Karim Benzema pada saingan Euro 2020 nanti.
Penyerang Real Madrid itu kembali disenaraikan di dalam skuad Perancis oleh Didier Deschamps selepas tersisih selama enam tahun termasuk terlepas aksi Piala Dunia 2018 di Rusia lalu.
“Saya sangat gembira dan sentiasa menantikan peluang untuk bergandingan bersama pemain hebat seperti Benzema.
“Tidak ramai pemain terbaik di dunia yang memiliki kehebatan seperti Benzema,” kata Mbappe selepas tamat aksi final Piala Perancis kelmarin.
Benzema yang meledak 28 gol dalam semua kejohanan musim ini bersama Real terlepas aksi bersama Perancis sejak 2015 selepas timbul isu skandal ugutan dan terpaksa berdepan pertuduhan di mahkamah.
Benzema juga sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila mengkritik Deschamps kerana menggugurkan namanya daripada skuad Perancis ke saingan Euro 2016.
“10 tahun bersama Real, dia mempunyai pengalaman berdepan tekanan dan bakatnya adalah melebih segala-galanya,” ujarnya. – AGENSI