PETALING JAYA – Bapa mertua kepada penyanyi dan pelakon Marsha Milan meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 awal pagi tadi.
Berita duka itu dikongsikan Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh menerusi hantaran dalam Instagramnya.
“Dukacita ingin memaklumkan bahawa bapa mertua tersayang, Datuk Seri Mohamed Ismail Mohamed Othman telah kembali ke Rahmatullah pada hari ini, Sabtu bertarikh 22/5/2021 bersamaan 10 Syawal 1442H.
“Marilah kita bersama-sama berdoa agar rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh dan beriman,” tulisnya.
Allahyarham merupakan antara individu yang berpengaruh di Pulau Pinang serta merupakan kenalan kepada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami serta pelakon, Sharnaaz Ahmad.
Menerusi InstaStorynya, Siti menyifatkan Allahyarham sebagai seorang abang yang baik hati dan tinggi budi pekerti.
Pada masa sama, Sharnaaz dalam Instagramnya turut meluahkan rasa sedih atas kehilangan insan yang sudah dianggap sebagai bapanya sendiri.
“Arwah merupakan seorang yang suka membantu orang yang berada di dalam kesusahan tidak kira apa cara sekalipun,” tulisnya.
Terdahulu, Marsha mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Datuk Seri Mohamed Ismail pada 31 Disember 2015.
Selepas berumah tangga, Marsha mengakui lebih selesa tinggal bersama keluarga mertuanya berbanding duduk berasingan. – K! ONLINE