fbpx

120 tan bawang merah India dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bawang besar merah dari India yang dirampas Maqis Selangor.

KLANG – Cubaan kali pertama sebuah syarikat pengeluaran dan pengagihan produk pengguna di daerah ini membawa masuk 120 tan bawang besar merah dari India tanpa mematuhi syarat permit import gagal selepas dirampas pihak berkuasa di Pelabuhan Utara, semalam.

Rampasan bawang bernilai RM150,000 itu dilakukan pukul 12.15 tengah hari hasil rutin harian Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor.

Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, siasatan awal mendapati kesemua bawang tersebut dibawa menerusi empat kontena dan berada di pelabuhan itu sejak 2 Mei lalu.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati syarikat itu tidak mematuhi syarat permit import Maqis iaitu peraturan Sijil Perakuan 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan) yang telah ditetapkan.

“Hasil siasatan turut mendapati kesemua bawang itu adalah untuk pasaran di Lembah Klang.

“Ini adalah kesalahan pertama dilakukan oleh syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zamri menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Ujarnya, sekiranya disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan sehingga enam tahun atau keduanya sekali.

“Maqis amat memandang serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kelestarian makanan negara,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI