fbpx

12 lelaki dikompaun berkumpul solat berjemaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 12 lelaki termasuk seorang warga asing dikompaun selepas mereka didapati melanggar SOP dengan berkumpul dan menunaikan solat berjemaah di dalam ruang sebuah premis di Nilai semalam.

SEREMBAN – Tindakan seramai 12 orang lelaki termasuk seorang warga asing yang berkumpul dan menunaikan solat berjemaah di dalam ruang sebuah premis di Nilai di sini semalam berakhir dengan kesemua mereka dikenakan kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, tindakan diambil selepas serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota polis bersama penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di sebuah premis kira-kira pukul 1.30 petang.

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat seramai 12 individu iaitu 11 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia sedang berkumpul menunaikan solat secara berjemaah di ruangan premis tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut tiada kebenaran untuk menjalankan aktiviti solat berjemaah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fazley, mereka juga didapati melakukan kesalahan berkumpul di dalam premis, tidak memakai pelitup muka serta gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ di premis atau menulis secara manual.

“Kesemua individu terbabit dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Jumlah kompaun yang boleh dikenakan adalah sebanyak RM1,500 hingga RM4,000 setiap seorang,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis menasihatkan orang ramai untuk terus kekal mematuhi PKP serta SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi memutuskan rantaian Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI