PONTIAN – Seramai 358 penduduk Kampung Parit Dato Onn, Ayer Baloi di sini menjalani ujian calitan selepas terdapat jangkitan Covid-19 melanda kampung berkenaan sejak 12 Mei lalu.
Daripada jumlah itu seramai 11 penduduk disahkan positif setelah menjalani ujian di Dewan Orang Ramai, Kampung Parit Dato Onn di sini.
Ketua Kampung Kawasan (8) Mukim Api-Api, Zakaria Sanusi berkata, pada hari ini sahaja seramai 298 orang telah menjalani calitan bermula dari pukol 8 pagi hingga 11 pagi.
Katanya, hanya terdapat sekitar 18 orang yang belum menjalani calitan dan pihaknya akan menunggu arahan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pontian bagi baki yang belum dijalankan proses tersebut.
“Kami berterima kasih kepada PKD Pontian kerana telah melakukan swab test bagi memastikan tiada lagi berlaku jangkitan Covid-19 kepada penduduk di Kampung Parit Dato Onn, selepas ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Zakaria, keseluruhan penduduk yang telah dikurantin setakat ini ialah seramai 378 orang termasuk anak-anak yang bekerja di luar tetapi balik ke kampung.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kanan, PKD Pontian, Dr. Surina Asan berkata, peningkatan kes positif daripada lima individu kepada 11 orang telah menyebabkan pihaknya melakukan saringan Covid-19 dalam komuniti tersebut.
Mengulas lanjut katanya, kes positif Covid-19 pertama di kampung tersebut dikesan hasil saringan ke atas seorang penduduk yang mahu pulang ke Sabah.
Jelasnya, kes pertama itu didapati mempunyai kontak rapat dengan ahli keluarga.
“Surau ditutup disebabkan semua kes positif telah hadir menyertai aktiviti di surau sepanjang bulan Ramadan lalu,” katanya.-K! ONLINE