PUTRAJAYA – Pelawaan untuk membuat tempahan slot janji temu suntikan vaksin AstraZeneca yang akan dibuka semula esok khusus kepada warga emas bakal menawarkan 1,240,000 dos.
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 dalam satu kenyataan berkata, pemberian suntikan bagi pusingan kedua inisiatif itu akan dimulakan pada 7 Jun sehingga 27 Julai depan.
Kenyataan itu berkata, pemberian untuk dos pertama untuk melibatkan lapan Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor.
PPVAZ itu ialah Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang; Persada Johor International Convention Center, Johor Bahru; Borneo Convention Center Kuching dan Institut Kemahiran Belia Negara Miri di Sarawak, World Trade Centre dan Universiti Malaya di Kuala Lumpur serta Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ideal Convention Centre, Shah Alam di Selangor.
“Seperti yang telah diumumkan, tempahan ini hanya dibuka kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas di lima negeri iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.
“Ini adalah salah satu langkah untuk memastikan warga emas yang termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi terus dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
CITF berkata, mereka yang berminat boleh mula membuat tempahan di www.vaksincovid.gov.my esok.
Pada masa yang sama, CITF mengalakkan orang muda untuk membantu warga emas untuk membuat tempahan ini untuk memudahkan urusan mereka.
“Mereka yang telah mendaftarkan nama di bawah senarai menunggu sewaktu tempahan slot 2 Mei lepas akan dimasukkan secara automatik ke dalam tempahan slot vaksinasi AstraZeneca pusingan ini,” katanya. – K! ONLINE