LONDON – Pasukan West Ham United mempamerkan keunggulan mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila mereka semakin hampir menggenggam tiket Liga Europa selepas menewaskan West Brom 3-1 awal pagi semalam.
Pada saingan tersebut, West Ham ketinggalan apabila pasukan tuah rumah terlebih dahulu di hadapan selepas meledak gol pada minit ke-27 menerusi jaringan Matheus Pereira.
Tersentak dengan keadaan tersebut, West Ham terus mengasak kubu pasukan tuah rumah dan Tomas Soucek berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-45.
Bersambung babak kedua perlawanan, giliran Angelo Ogbonna dan Michail Antonio pula menjaringkan gol buat West Ham sekali gus menutup perlawanan itu dengan kemenangan 3-1 untuk berada di kedudukan keenam keseluruhan carta liga EPL musim ini.
Kini, The Hammers hanya memerlukan satu mata sahaja lagi untuk mengesahkan kedudukan ke Liga Europa musim depan pada perlawanan terakhir ketika menentang Southampton pada aksi hujung minggu ini.
“Saya rasa kami telah menunjukkan watak sebenar West Ham ketika ini. Sepanjang musim ini, semua pemain telah memainkan tugas masing-masing dengan baik untuk kami berada pada tahap seperti ini.
“Perlawanan hari ini sangat mencabar terutama kehadiran penyokong tuan rumah. Jika kami gagal membawa pulang tiga mata penuh sudah pasti impian kami untuk ke Liga Europa tertutup.
“Bagaimanapun, kami perlu bekerja keras kerana masih terdapat satu lagi baki perlawanan untuk kami mengesahkan impian kami untuk bersaing di Europa,” kata Ogbonna. – AGENSI