fbpx

Tiba masa untuk lockdown

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PKRC MAEPS

PETALING JAYA – Peningkatan kes jangkitan harian selain jumlah kematian yang merekodkan angka tertinggi semalam menjadi isyarat jelas buat kerajaan untuk segera melaksanakan lockdown di seluruh negara bagi meredakan penularan kes Covid-19.

Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, pelaksanaan lockdown sekurang-kurangnya selama 14 hari wajar dilakukan berikutan negara sedang mengalami ke­tegangan di peringkat perkhidmatan kesihatan.

“Situasi sekarang ini tidak sama seperti tahun lepas di mana kerajaan mahu mengekang wabak supaya tidak merebak. Atas atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), maka Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 dilaksanakan.

“Tujuan lockdown kini ialah bagi mengelakkan lebih banyak kematian. Kita juga tidak mahu perkhidmatan kesihatan negara terjejas, kerana sekiranya hospital penuh, bukan sahaja pesakit Covid-19 yang terkesan, malah pesakit yang memerlukan rawatan segera juga terjejas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Katanya, lockdown juga perlu dilaksanakan di seluruh negara dan tidak fokus di negeri-negeri yang mempunyai kes tinggi.

“Perlu dilaksanakan di seluruh negara kerana secara umumnya, kes Covid-19 banyak mencatatkan kes sporadik. Tambahan lagi, kita baru menyambut Hari Raya Aidilfitri yang menyebabkan ba­nyak pergerakan balik kampung.

“Cuba laksanakan lockdown dua minggu dulu, kemudian kaji semula. Dengan pelaksanaan lockdown ini, kita harap jumlah kes kematian dapat dikurangkan dan sistem kesihatan berfungsi dengan maksimum,” jelasnya.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan (KKM) semalam, jumlah jangkitan kes harian me­lonjak kepada 6,806 kes, manakala angka kematian mencatat rekod tertinggi sejak pandemik melanda iaitu 59 kematian.

PETUGAS kesihatan memeriksa keadaan pesakit Covid-19 di Pusat Kurantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang semalam. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Selangor terus merekodkan jumlah kes harian tertinggi de­ngan 2,277 kes diikuti Sarawak (608), Kuala Lumpur (655) dan Johor (615).

Pakar Epidemiologi dan Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Mohd. Rohaizat Hassan pula berkata, apa yang membimbangkan kini ialah kemunculan varian yang menyebarkan virus dengan pantas.

“Terdapat tiga varian of ­concern (VOC) yang dikesan di Malaysia iaitu varian daripada Afrika Selatan, India dan United Kingdom. Ketiga-tiga varian ini dari segi kepantasan penula­ran memang berbeza daripada ­va­rian biasa terutama va­rian India yang dipanggil double ­spreader.

“Varian tersebut dua kali ganda kepantasan menyebarkan virus sekiranya seseorang pembawa itu ada dalam komuniti. Jadi, itu yang merisaukan kita,” katanya.

Mohd. Rohaizat berkata, lebih membimbangkan, varian India juga sukar dikesan melalui ujian real-time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) biasa yang dijalankan.

“Kadang kala ada kes yang ujian PCR negatif, tetapi bila diuji sekali lagi menggunakan kaedah tertentu, baru boleh kesan. Itu yang ada kes pesakit dikesan negatif, tetapi tidak lama kemudian didapati positif.

“Bagaimanapun, varian ini dipantau oleh KKM dengan mengambil sampel-sampel daripada kluster-kluster, kes-kes yang dimasukkan ke hospital dan sebagainya mengikut kriteria yang standard berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kes-kes tertentu.

“Ia akan diambil dan dibuat jujukan genetik untuk melihat adakah punca untuk kes-kes seperti ini disebabkan oleh va­rian-varian tersebut. Itu yang dilakukan oleh KKM dari segi pemantauan,” jelasnya.

Justeru katanya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh semua pihak juga amat diperlukan ketika ini.

“Di peringkat masyarakat, seperti yang disarankan oleh KKM, virus Covid-19 kini dilihat merebak terlalu pantas, jadi keperluan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada intervensi kesihatan awam supaya boleh mengurangkan kesan penularan itu,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI