KOTA BHARU – Seorang lelaki warga Thailand direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan rakannya di dalam sebuah reban ayam di Kampung Che Arus, Bukit Merbau dekat Kok Lanas di sini kelmarin.
Perintah reman sehingga Khamis depan terhadap suspek yang dikenali sebagai Man Siam, 22, itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, Amni Johari di bilik reman Kompleks Mahkamah Kota Bharu.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, suspek bertindak menikam seorang penganggur dengan sebilah parang di dalam sebuah reban ayam selepas kepalanya dipijak mangsa ketika dia sedang tidur.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.46 malam kelmarin, mangsa, Mohd. Daiylamien Ashari ,38, disahkan meninggal dunia ketika dia tiba di Hospital Machang untuk menerima rawatan lanjut.
Ketika berada di dalam reban ayam yang juga menjadi tempat tidur suspek, mangsa dipercayai telah ditikam sebanyak empat kali di bahagian dada selepas berlaku pergaduhan antara mereka. – K! ONLINE