PETALING JAYA – Sunway Construction Group Bhd. (Sunway Construction) mencatat pendapatan yang mengukuh sebanyak 24.4 peratus tahun ke tahun kepada RM455.2 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021.
Peningkatan tersebut disumbangkan daripada pendapatan yang tinggi dalam segmen pembinaan.
Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Construction, Chung Soo Kiong berkata, keuntungan sebelum cukai (PBT) menokok sebanyak 26 peratus tahun ke tahun kepada RM27.2 juta ekoran peningkatan pendapatan.
Menurut beliau, bagi suku berakhir 31 Mac 2021, pendapatan daripada segmen pembinaan bertambah sebanyak 27.8 peratus tahun ke tahun kepada RM421.3 juta.
“Meskipun pelaksanaan PKP 2.0 semasa suku berkenaan, sektor bangunan mampu mencatat bil yang aktif daripada projek di bahagian tengah dan juga utara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Soo Kiong menerangkan, PBT bertambah kepada RM23.6 juta suku pertama tahun 2021 berbanding RM20.8 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Selain itu, beliau berkata, Kumpulan telah memuktamadkan keputusan kewangan bagi projek lebuh raya Meensurutti-Chidambaram (MC) di India pada 10 Mei lalu 2021.
Pemilihan tarikh bagi Sunway Construction untuk memulakan kerja tersebut akan dimaklumkan oleh National Highways Authority of India (NHAI).
“Keputusan kewangan daripada suku pertama telah membayangkan prestasi yang konsisten pada tahun ini melalui pertumbuhan pendapatan yang stabil.
“Sehingga kini, Kumpulan telah mendapat RM462 juta daripada tempahan baharu,” ujarnya.