fbpx

Sokong atlet Olimpik menerusi acara larian maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acara larian ini turut bermatlamat mempromosikan gaya hidup sihat.

PETALING JAYA – Orang ramai berpeluang menyatakan sokongan kepada atlet negara yang bakal bertanding pada kejohanan Olimpik Tokyo menerusi acara larian secara maya #RUNwithOLYMPIANS #RUNforOLYMPISM yang bakal berlangsung dari 1 Jun hingga 22 Jun depan.

Acara anjuran Persatuan Olympian Malaysia (MOA) dan Malaysian Olympism in Action Society (MOiAS) itu juga bermatlamat mendidik masyarakat berkenaan semangat olimpian dan menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Program fun run itu merupakan acara berpasukan, yang mana mereka perlu menghabiskan larian minimum sejauh 127 kilometer (km) dalam tempoh 22 hari.

“Setiap pasukan mesti terdiri daripada antara dua hingga 15 orang dengan minimum jarak larian seorang peserta adalah 5 km,” kata MOA dan MOiAS dalam satu kenyataan.

Katanya, orang ramai berpeluang membentuk pasukan sendiri atau menyertai pasukan lain yang akan diketuai oleh seorang Olimpian Negara misteri yang akan diumumkan pada 1 Jun depan.

Menurut kenyataan itu, para peserta daripada semua peringkat usia digalakkan menyertai acara larian maya tersebut, dengan individu bawah 18 tahun perlu mendapatkan kebebaran daripada ibu bapa atau penjaga.

“Pasukan yang menghabiskan larian minimum 127 km itu layak untuk menyertai cabutan bertuah. Pendaftaran bagi acara tersebut dibuka sejak 1 Mei lalu dan akan ditutup 7 Jun depan.

“Untuk menyertainya, orang ramai perlu melayari laman web www.getbiib.com/events. Bayaran RM50 akan dikenakan bagi setiap pendaftaran.

“Cabutan bertuah itu akan diadakan secara maya pada Hari Olimpik iaitu 23 Jun depan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI