JEMPOL – Tindakan seorang remaja memuat naik sebuah video aksi berbahayanya menunggang motosikal di laman Instagramnya tujuh hari lalu mengundang padah apabila rakaman berkenaan tular dan dia ditangkap di kediamannya di Rumah Murah Taman Mahsan di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, video tular berkenaan dikongsikan oleh pengguna aplikasi whatsApp dan diterima Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan kira-kira 6.20 petang semalam.
“Klip video itu memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal jenis Honda EX5 secara berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan beberapa kali berhampiran stesen minyak BHP Mahsan.
“Berdasarkan video tersebut JSPT Negeri Sembilan telah membuat semakan terhadap nombor pendaftaran motosikal tersebut dan menahan suspek kira-kira pukul 2 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.
Chang Hook berkata, suspek mengaku terlibat di dalam video tersebut serta barang-barang kes telah dirampas.
Video berdurasi kira-kira 46 saat itu dimuat naik dengan kapsyen ‘lama sangat peram’ dan suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Chang Hook memberi amaran keras terhadap mana-mana individu yang sengaja melanggar undang-undang jalanraya dengan cara menunggang secara melulu dan merbahaya.
“Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat kegiatan lumba haram kepada pihak berkuasa dan diharap Ibu bapa dapat memantau aktiviti anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang di negara ini. – K! ONLINE