KOTA BHARU – Polis Kelantan menafikan dakwaan yang mengatakan terdapat seramai 200 penduduk Kampung Pauh Lima, Bachok yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) lari daripada melakukan ujian saringan Covid-19.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat menegaskan dakwaan yang tular di aplikasi WhatApp itu adalah palsu.
Katanya, sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu dan sentiasa berwaspada dengan penyebaran maklumat yang diragui kesahihannya.
“Tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa jika terdapat perlakuan kesalahan di bawah Akta Komunikasi Dan Multimedia (AKM) 1998.
“Polis Kontinjen Kelantan ingin menegaskan kepada orang ramai untuk tidak menularkan atau menyebarkan sebarang berita tidak benar tanpa merujuk kesahihannya kepada pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu tangkap layar mesej di aplikasi WhatsApp yang mendakwa kira-kira 200 penduduk Kampung Pauh Lima, Bachok yang dikenakan PKPD bermula kelmarin hingga 1 Jun depan lari meninggalkan kampung ekoran enggan menjalani ujian saringan Covid-19.
Mesej itu tular sejak beberapa hari lalu sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat yang tinggal berhampiran kampung itu. – K! ONLINE