TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menjalankan rondaan di semua laluan air bagi mengelakkan penduduk Kepulauan Tumpat di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula tengah malam ini.
Pengawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superitendan Mohd. Rudzuan Ahmad berkata, rondaan akan dilakukan lebih kerap ekoran bimbang ada penduduk meloloskan diri keluar dari kawasan itu.
Katanya, ini kerana, PPM mendapati kawasan itu banyak laluan tikus melalui jalan air yang memudahkan pergerakan penduduk.
“Saya berharap jika ada melihat sebarang pegerakan mencurigakan dalam kalangan penduduk, mereka boleh terus melaporkan kepada pihak berkuasa.
“PPM tidak akan berkompromi dengan pihak atau individu yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP). Justeru, saya berharap penduduk setempat untuk tidak mencuba nasib melarikan diri ke kawasan daratan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Terdahulu, anggota PPM Wilayah Tiga melakukan rondaan di kawasan perairan Kepulauan Tumpat bagi memastikan penduduk patuh kepada SOP.
Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang di sini melibatkan empat lokaliti iaitu Teluk Renjuna, Pantai Nik Haji Nik Mat, Pulau Beluru dan Pantai Suri.
Tinjauan Kosmo! mendapati, anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) mula ditempatkan di lokaliti terbabit untuk membuat kawalan PKPD yang bermula tengah malam ini hingga 4 Jun depan. – K! ONLINE