TEMERLOH – Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan video pertengkaran melibatkan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan seorang bilal di Masjid Kampung Raja di di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas dan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Siasatan kes yang teliti akan dijalankan dengan keterangan saksi-saksi terlibat dirakam dan sejurus siasatan lengkap kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
“Sebelum kejadian berlaku (pertengkaran) terdapat beberapa aduan diterima di atas ketidakpatuhan SOP oleh jemaah masjid berkenaan,”katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Yusri, pihak polis menerima laporan berkaitan pertengkaran melibatkan seorang anggota Rela yang sedang menjalankan tugas dengan seorang bilal di Masjid Kampung Raja di sini kira-kira pukul 2.25 petang semalam.
Katannya, hasil siasatan mendapati video berdurasi dua minit 55 saat itu dimuatnaik melalui aplikasi WhatsApp dan seterusnya tular di dalam media sosial.
“Di dalam video tersebut didapati berlaku pertengkaran melibatkan bilal masjid berkenaan yang dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan anggota Rela berkenaan yang hadir untuk menjalankan tugas pemantauan pematuhan SOP,” ujarnya. – K! ONLINE