fbpx

Pegawai bank sahkan transaksi wang RM9.5 juta ke akaun Shafee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Shafee ketika tiba di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Dua pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memasukkan sejumlah RM9.5 juta ke dalam akaun peribadi Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah melibatkan dua transaksi berlainan masing-masing pada tahun 2013 dan 2014.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad R. Uma Devi, 41, yang merupakan saksi pendakwaan pertama memberitahu, transaksi pertama melibatkan pengeluaran wang RM4.3 juta daripada akaun semasa milik bekas Perdana Menteri pada 11 September 2013 melalui cek yang mana baki sebelum pengeluaran adalah sebanyak RM73.4 juta.

Menurutnya, cek bertarikh 5 September 2013 itu ditandatangani oleh Najib selaku pemilik akaun.

Ketika membacakan pertanyaan saksi, Uma Devi berkata, transaksi kedua melibatkan cek sebanyak RM5.2 juta ditunaikan ke dalam akaun semasa Muhammad Shafee pada 17 Februari 2014.

Uma Devi berkata, beliau telah diminta oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Farid Jabar untuk mengemukakan maklumat akaun semasa milik Najib.

Menurut pegawai bank itu, beliau tidak mengetahui tujuan kedua-dua cek itu dikeluarkan kepada Muhammad Shafee.

Sementara itu, Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku, Rosnita Ahmad, 41, berkata, beliau turut diminta oleh Mohamad Farid untuk mengemukakan maklumat akaun semasa tertuduh.

Menurut saksi pendakwaan kedua, semasa pembukaan akaun itu, Muhammad Shafee merupakan seorang peguam di firma guaman Tetuan Shafee & Co. dan akaun itu merupakan akaun peribadi.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Muhammad Shafee yang menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterimanya daripada Najib dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 28 Mei ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI