PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran enam pegawai kanannya yang akan berkuat kuasa pada 21 Jun depan.
Superintendan Komunikasi Korporat Urus Setia Ketua Polis Negara PDRM, Superintendan Skandaguru Anandan berkata, antara yang terlibat dalam pertukaran itu adalah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Johor, Senior Asisten Komisioner (SAC) Alzafny Ahmad.
“Beliau akan ditukarkan ke Kedah bagi jawatan dan pangkat yang sama manakala tempatnya pula akan diambil alih oleh Asisten Komisioner (ACP) Abdul Aziz Ali dengan memangku pangkat SAC.
“Superintendan Aniesa Hanim Ahmad selaku Pegawai Turus Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur pula akan bertukar ke Melaka sebagai Ketua Jabatan Pengurusan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, dua lagi pegawai kanan iaitu Deputi Superintendan (DSP) Sarih Salleh dan DSP Mohd Zati Hamid pula akan memangku pangkat Superintendan.
“Kedua-duanya akan mengisi jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di negeri yang sama.
“Manakala Asisten Superintendan (ASP) Pengurusan Lesen/Pendataan, Bahagian Pelesenan, Jabatan Pengurusan Sabah pula akan memangku pangkat DSP selaku Ketua Polis Daerah Ranau, Sabah,” ujarnya. – K! ONLINE