PUTRAJAYA – Senario pasaran buruh pada suku pertama tahun ini belum kembali seperti tempoh sebelum Covid-19, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin.
Beliau berkata, pasaran buruh negara terus mengalami ketidaktentuan momentum pemulihan pada suku pertama tahun ini susulan langkah bersasar bagi membendung krisis kesihatan awam negara.
Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 12 Mei lalu juga memberi cabaran baharu kepada golongan peniaga.
“Dengan cabaran baharu ini, peniaga mungkin akan terus berdepan dengan situasi yang kurang memberangsangkan pada suku kedua tahun ini.
“Keadaan ini dijangka akan menyebabkan gangguan terhadap momentum pemulihan pasaran buruh,” katanya menerusi kenyataan akhbar berhubung Sorotan Pasaran Buruh, Suku Pertama 2021, dikeluarkan hari ini.
Mohd. Uzir berkata, dari segi penawaran buruh, penduduk bekerja merekodkan penurunan kecil tahun ke tahun sebanyak 7,000 orang kepada 15.24 juta orang pada suku pertama tahun ini berbanding pengurangan 93,000 orang pada suku tahun sebelumnya.
Beliau berkata, bilangan penganggur kekal tinggi dengan tambahan 225,000 orang daripada 547,000 orang pada suku pertama tahun lalu kepada 772,000 orang penganggur pada suku tahun ini.
“Justeru, kadar pengangguran meningkat 1.3 mata peratus tahun ke tahun kepada 4.8 peratus. Oleh yang demikian, bilangan tenaga buruh naik 1.4 peratus mencatatkan 16.01 juta orang berbanding 15.79 juta orang bagi suku tahun sama tahun lalu,” katanya.
Katanya, walaupun pertubuhan berdepan dengan cabaran kerana pandemik, kekosongan jawatan dalam sektor ekonomi naik 12,000 kepada 178,000 sekali gus menunjukkan permintaan pekerjaan yang lebih banyak berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, keadaan ekonomi yang mencabar sejak awal tahun lalu telah memberi kesan kepada kumpulan rentan tertentu dalam pasaran buruh berbanding dengan kumpulan lain.
Menurutnya, salah satu isu utama yang harus ditangani dalam mengharungi keadaan yang sukar ini adalah kebajikan pekerja.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah strategi tiga serangkai iaitu pengekalan pekerjaan, melindungi hak pekerja dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi membantu golongan yang terjejas,” katanya. – K! ONLINE