PUTRAJAYA – Kerjasama Malaysia dan China dalam aspek penghasilan vaksin Covid-19 secara ‘fill and finish’ di negara ini akan terus diperkukuh dalam usaha mengatasi wabak tersebut sekali gus memacu proses pemulihan negara.
Kesepakatan itu hasil perbincangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Perdana Menteri Republik Rakyat China, Li Keqiang secara persidangan video pagi tadi.
Muhyiddin berkata, kerajaan China memberi respons yang amat positif supaya cadangan kerjasama itu dibincangkan dengan lebih terperinci di peringkat kementerian-kementerian yang berkaitan.
Beliau berkata, cadangan lain yang turut akan dibincangkan termasuklah kerjasama dalam bidang perdagangan elektronik, teknologi tinggi, ekonomi digital, pertanian dan agromakanan, pembangunan keselamatan makanan serta program pembasmian kemiskinan.
“Saya dan Li Keqiang sepakat mengenai kepentingan jalinan kerjasama yang lebih erat dan proaktif antara kedua-dua negara antaranya kolaborasi berterusan dalam bidang yang telah dipersetujui sebelum ini seperti pembekalan vaksin, keselamatan makanan serta rantaian bekalan yang terjamin,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau hari ini.
Perdana Menteri berkata, perbincangan yang julung kali diadakan itu juga tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara menerusi penerokaan bidang-bidang baharu.
“Kerjasama dua hala ini untuk kepentingan bersama selain memperkukuh kerjasama sedia ada dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.
“Kami berdua sepakat bahawa hubungan dua hala Malaysia-China terus berkembang positif dan erat meskipun berdepan cabaran getir kesan daripada penularan wabak Covid-19,” katanya.
Dalam aspek ekonomi dan perdagangan pula, Muhyiddin berkata, dia dan Li Keqiang bersetuju bahawa komuniti perniagaan serta para pelabur di Malaysia dan China perlu terus meningkatkan lagi jalinan hubungan ekonomi.
“Usaha itu dengan memanfaatkan peluang-peluang yang ditawarkan oleh kedua-dua negara yang terhasil daripada polisi mesra perniagaan serta persekitaran yang kondusif dan menguntungkan,” ujarnya.
Pada masa sama, Muhyiddin berkata, perbincangan itu turut menyentuh mengenai isu-isu antarabangsa melibatkan situasi di Palestin dan Myanmar.
“Kami berdua bersetuju bahawa situasi yang memberi kesan kepada rakyat kedua-dua buah negara tersebut dan rantau sekelilingnya memerlukan desakan segera daripada semua komuniti antarabangsa agar dihenti dan diselesaikan segera.
“Dalam hal ini, saya turut memaklumkan langkah-langkah yang telah diambil oleh Malaysia dan negara lain di platform antarabangsa,” katanya. -K! ONLINE