PETALING JAYA – Selepas disahkan positif Covid-19 pada 19 Mei lalu, pelakon Puteri Sarah hilang salah satu nikmati dunia. Selain tidak dapat bersama keluarga, dia juga sedih apabila hilang hikmat deria rasa dan bau terutama ketika menikmati makanan.
Perkara tersebut dikongsi pemilik sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu menerusi Instagramnya.
“Sedihlah. Bila makan tidak ada rasa. Nikmat Allah SWT yang ditarik. Makan apa pun tidak ada rasa,” tulisnya dalam Instagram.
Disebabkan masalah tersebut, Sarah terpaksa menggunakan daya imaginasi sendiri dengan membayangkan rasa sebenar makanan yang dijamah untuk mendapatkan seleranya ketika makan.
“Terpaksa guna imaginasi sendiri tengah makan sup ekor, sedangkan rasanya macam air suam,” ujarnya.
Sambil berseloroh, isteri kepada pelakon dan juga pengarah Syamsul Yusuf itu memberitahu, hilang deria bau juga ada kelebihannya kerana jika terdapat bau busuk, dia langsung tidak akan dapat mencium bau kurang menyenangkan tersebut.
Terdahulu, Sarah disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian calitan sebanyak tiga kali. Pelakon itu tidak menyangka akan dijangikiti wabak tersebut meskipun tidak menunjukkan sebarang simptom yang membimbangkan.
Selain Sarah, beberapa selebriti tanah air antaranya Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Alif Satar, Tiz Zaqiyah, Nora Danish, Nabila Huda dan Reen Rahim turut disahkan positif Covid-19. – K! ONLINE