KEMAMAN – Tindakan lima lelaki menggunakan laluan tikus untuk merentas sempadan Terengganu dari Kuantan, Pahang mengundang padah apabila mereka ditahan polis di Kampung Paya Berenjut di sini pada kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesemua individu berusia 19 hingga 59 tahun tersebut masing-masing dikompaun RM5,000.
“Sewaktu ditahan, mereka gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran merentas negeri selain memberi alasan menggunakan laluan tikus tersebut untuk membeli barangan keperluan makanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, kelima-lima lelaki itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini untuk diambil keterangan sebelum notis kompaun dikeluarkan.
“Kita dapati lorong tikus ini digunakan penduduk terutamanya yang menetap di kawasan sempadan Pahang-Terengganu untuk mengelak daripada sekatan jalan raya (SJR).
“Saya harap orang ramai memberi kerjasama dengan mematuhi larangan rentas negeri dan daerah bagi mengelak dikompaun,” katanya. – K! ONLINE