PETALING JAYA – Enggan menyalahkan pihak tertentu ekoran peningkatan mendadak kes positif Covid-19, penyanyi Mimi Fly yakin penularan tersebut timbul disebabkan sikap masyarakat yang enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Tegas Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 35, dia tidak melihat peningkatan jumlah kes Covid-19 di Malaysia berpunca daripada kesilapan kerajaan atau petugas barisan hadapan.
“Kes Covid-19 negara kita semakin menggila. Benda ini bukan sebab kerajaan tak buat kerja atau petugas barisan hadapan buat kerja tak betul. Bukan sebab selebriti Malaysia rentas negeri untuk beli karpet. Tidak!
“Berhenti asyik menunding jari pada kesalahan orang lain. Kita semua bertanggungjawab,” tulisnya dalam Instagram.
Ujar bekas anggota kumpulan One Nation Emcees itu lagi, dia percaya bahawa peningkatan kes Covid-19 terjadi disebabkan sikap masyarakat sendiri yang tidak mematuhi SOP dan arahan yang dikeluarkan kerajaan.
“Ada lagi yang masih ke pusat membeli-belah, masih berkumpul beramai-ramai, ziarah-menziarahi. Lepas itu tidak amalkan penjarakan sosial, memakai pelitup hidung dan mulut dengan betul, tidak sanitasi tangan dan basuh tangan sekerap mungkin,” katanya.
Lantaran itu, Mimi menggesa masyarakat supaya bersikap jujur dan mengakui kesalahan diri sendiri kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.
Bagi mengekang penularan Covid-19 daripada menjadi lebih serius, Mimi menyeru orang ramai supaya lebih berdisiplin dan mengamalkan gaya hidup norma baharu untuk memutuskan rantaian virus pembunuh tersebut.
“Mari semua kita praktikkan SOP dengan ketat dan sama-sama membantu kerajaan dan petugas barisan hadapan untuk memutuskan rantaian Covid-19.
Sekadar info, kes harian positif Covid-19 semalam mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 6,806 kes membabitkan 59 kematian. – K! ONLINE