fbpx

Inflasi negara meningkat April lalu, tertinggi sejak 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir

PUTRAJAYA – Indeks Harga Pengguna (IHP), antara penanda aras utama kadar inflasi menunjukkan peningkatan 4.7 peratus pada bulan April lalu berbanding bulan sama tahun sebelumnya (2.9 peratus).

Laporan berkaitan IHP yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) turut menunjukkan kadar IHP bagi bulan lalu itu meningkat 0.2 peratus berbanding Mac lepas.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia merupakan inflasi tertinggi sejak tahun 2018 dan trend tersebut dijangka akan berterusan sehingga suku tahun pertama hadapan.

Katanya, enam negeri turut menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 4.7 peratus bagi tempoh sama iaitu Terengganu (6.3 peratus), Kelantan (5.7 peratus), Pahang (5.6 peratus), Kedah dan Perlis (5.1 peratus), Negeri Sembilan (5.0 peratus) serta Johor (4.9 peratus).

“Peningkatan IHP keseluruhan itu adalah didorong kenaikan indeks pengangkutan sebanyak 27 peratus yang disebabkan oleh kesan asas rendah pada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mohd. Uzir berkata, Indeks Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain pula meningkat 3.1 peratus pada bulan sama tahun sebelumnya.

Menurutnya lagi, hal itu disebabkan penamatan diskaun elektrik yang diberikan kepada pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bermula April tahun lalu dan berakhir pada Disember tahun sama.

“Bagi Indeks Makanan dan Minuman Bukan Alkohol pula, ia meningkat 1.9 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya disebabkan oleh kekurangan bekalan, permintaan yang lebih tinggi dan ketidaktentuan cuaca,” katanya.

Beliau berkata, walaupun indeks keseluruhan meningkat tetapi indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal meningkat 0.7 peratus pada April 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI