PETALING JAYA – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) telah menawarkan Dewan Wawasan di Menara PGRM, Kuala Lumpur sebagai pusat pemberian vaksin kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan boleh menggunakan Dewan Wawasan di Menara PGRM tersebut secara percuma agar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dapat berjalan dengan lancar.
Katanya, pembukaan pusat pemberian vaksin merupakan inisiatif yang baik kerana setiap hari ramai orang awam datang ke Menara PGRM atas urusan peribadi sekeli gus boleh menarik masyarakat untuk mendaftar vaksin.
“Malah, Dewan Wawasan yang terletak di Menara PGRM ini hanya mengambil masa lima minit perjalanan dari stesen MRT Maluri.
“Saya rasa isu pengangkutan bukannya masalah,” katanya ketika berbincang mengenai vaksin secara maya dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini.
Tambah Dominic lagi, bagi orang ramai yang menaiki kenderaan sendiri pula tidak ada masalah kerana di Menara PGRM tempat letak kereta adalah mencukupi untuk menampung kedatangan orang ramai.
Dalam pada itu, Dominic meminta kerajaan mempertimbangkan untuk memberi dos vaksin kepada penduduk-penduduk di kawasan zon merah terlebih dahulu dan seterusnya kepada golongan pekerja.
Pada masa yang sama, Khairy juga mengatakan fasa ketiga vaksinasi akan dilakukan secepat mungkin. Mereka memberi fokus terhadap pemberian vaksin kepada warga emas dan kemudian kerajaan akan memberi keutamaan kepada orang yang bekerja.
Minggu ini Malaysia mencatat kes harian Covid-19 paling tinggi setakat ini, sebanyak 6,806 kes pada hari ini.
“Jumlah ini amat membimbangkan. Saya berharap masyarakat mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini,” ujarnya. – K! ONLINE.